Saturday, October 6, 2012

MEMANCING UDANG GALAH DI BUKIT MINYAK,SEBERANG PERAI


Ada satu kolam udang galah di Bukit Minyak, Seberang Perai. Lokasinya berdekatan deretan kedai di sebelah kiri jika menuju ke Bukit Mertajam. Rasanya inilah satu-satunya kolam yang masih tinggal di sekitar Seberang Perai Selatan,Pulau Pinang ini. 
Memancing udang lebih seronok dari duduk melepak tak tentu pasal

 

Kami bertolak dari Melor Inn iaitu sebuah hotel di Parit Buntar,Perak. Parit Buntar adalah bandar di utara Perak di mana lokasinya bersempadan dengan Seberang Perai,Pulau Pinang dan Bandar Baharu, Kedah. Hotel di sini sungguh selesa dengan bayaran berpatutan iaitu RM150 sahaja semalam termasuk deposit.

Melor Inn,Parit Buntar-Selesa menginap di sini
 

Banyak peralatan menangkap ikan boleh di dapati di sekitar Parit Buntar. Kita cuma perlu rajin bertanya sahaja. Rata-rata orang di sini bekerja di kilang, berniaga, bersawah padi dan nelayan laut. Ikan air tawar yang boleh di pancing di sekitar kawasan kampung di Parit Buntar ialah ikan sepat,ikan puyu,ikan haruan,ikan belida dan belut air tawar.

 

Orang di Parit Buntar tak berapa suka makan ikan puyu. Jadi ikan puyu memang banyak di sini. Kita boleh tengok ikan puyu melintas jalan ketika hujan pada waktu subuh di sini. Kalau di Benut,Johor ikan puyu dijual RM 1 seekor.Boleh buat duit kalau rajin. Memancing sejam di Parit Buntar boleh dapat setengah baldi ikan puyu.
Ikan puyu banyak di Parit Buntar,Perak

 

Kami melalui jalan Jejawi, Seberang Perai untuk ke Kolam Udang Galah Bukit Minyak. Jalan terus sahaja dari Parit Buntar ke Bukit Minyak. Bila sampai kita boleh nampak kain rentang Kolam Pancing Udang Galah dengan jelas dari jalanraya.

 

Bayaran sejam di kolam ini cuma RM12. Tapi kita dilarang membawa joran dan umpan sendiri. Kami diberi umpan pedal ayam beku yang baunya hampir tiada. Kalau tak ada bau susah udang nak sambar. Namun begitu kami cuba juga.

 

Rata-rata pemancing udang di sini cakap boleh dapat udang di sini dalam 4 ekor dalam 3 jam. Kalau pemancing yang bagus boleh dapat 5 ekor dalam 2 jam. Agaknya taukeh kolam pancing ini nak memastikan perniagaan kolam ini bertahan lama. Memang betul banyak kolam udang ‘bankrupt’ sebab harga stok udang galah melambung naik dalam 2 tahun ini.

 

Pakai umpan pedal ayam pun boleh juga dapat udang galah dalam 2 ekor sejam pertama. Tapi takkan nak bawa balik setakat 4 ekor saja. Datang jauh-jauh pancing sikit-sikit? Tak boleh jadi ni.

 

Saya balik ke kereta saya dan mengambil seekor umpun-umpun yang dipotong kecil-kecil. Tanpa pengetahuan taukeh kedai dan pemancing-pemancing lain saya bawa masuk umpan tersebut. Saya letakkan di bawah tuala tangan yang saya ambil sekali dengan papan pemotong umpan sebelum ini.

Umpun-umpun hidup memang kegemaran udang kolam
 

Memang berbeza memancing dengan umpan yang dibekalkan kedai dengan umpan umpun-umpun ini. Banyak udang kami angkat dalam sejam kedua iaitu 10 ekor sejam. Pemancing-pemancing lain agak teruja bila melihat kami mengangkat udang dengan banyak. Udangnya pula besar-besar. Alhamdulillah rezeki Allah sahaja yang beri, hari itu kami membawa 25 ekor udang. Kami berikan kepada saudara-mara kami di utara Perak.

 

Kami langsung tak berniat mensabotaj perniagaan kolam tersebut. Kami faham dengan situasi kolam udang galah sekarang.Kami harap semua kolam udang mampu bertahan dalam industri rekreasi dan sukan sekarang.Sekurang-kurangnya masih ada kolam udang di sekitar Selangor ini.

 

  • Kolam Pancing Udang Harimau di Bukit Lancong,Shah Alam.
  • Kolam Pancing Udang Galah Tuah di Bukit Dukung,Kajang.
  • Kolam Pancing Udang Galah Tepian Rimba,Sungai Serai,Hulu Langat.
  • Kolam Pancing Udang Galah Putra Perdana,Puchong

netsellonline.com
ikhwaniah.org